Thursday, January 7, 2010

Pena Muqaddimah

Bismillahirrahmannirrahim…..

Assalamualaikum wbt….

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi atas anugerah nikmat-nikmatnya terutamanya nikmat iman dan juga nikmat Islam yang mana tidak dianugerahkan kepada semua makhluk ciptaanNya kecuali orang Islam. Semoga nikmat yang dua ini menjadi inspirasi kepada kita umat Islam untuk terus berjuang beribadat dan mendambakan hati dan diri kita kepada Al-Khaliq. Seterusnya selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w yang walaupun digelar ‘ummi’ (yang tidak pandai membaca) tetapi baginda mampu menafsir isi hati manusia yang lain (SubhanAllah). Semoga syafaat Baginda akan senantiasa berada di sisi kita semua umatnya pada hari perhitungan kita nanti. (Aameeen)

Dengan rahmat dan limpah kurniaNya penulis kembali bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak pernah kenal erti penat lelah dalam melebarkan dakwah Islam dalam pelbagai uslub dakwah termasuklah menggunakan medan maya yang serba canggih dan semakin berteknologi ini. Semoga alam maya ini menjadi satu medium ghuzwatul fikr untuk sama-sama kita menilai keadaan disekeliling kita.

Salam pertemuan kembali buat semua sidang pembaca dan pengkritik setia yang hadirnya bagi menjana ilmu (duniawi dan akhirat) yang menjadi benteng diri dan semua insan yang berada di sekeliling kita dan seterusnya berkongsi pandangan-pandangan qalbu dan fikr bagi merealistikkan setiap bait-bait mutiara yang wujud dalam penulisan yang serba kekurangan ini. Penulis juga berharap agar untaian kata-kata yang dikongsi memberi berjuta manfaat pada semua terutamanya hati penulis sendiri yang masih dalam perjalanan mencari sesuatu makna dalam kehidupan ini yang mana penuh dengan mehnah dan tribulasi yang perlu ditatapi saban hari bagi menemui kemanisan dalam meneruskan sisa-sisa umur yang belum diketahui destinasinya.

Niat

“Innama al a’malu binniyat……”

Nyanyian merdu suara muadz menjengah dipendengaranku, membisik seribu bahasa melagukan hadith yang pertama lahir dari kitab arba’in an nawawiyah. Lagu ini senantiasa menjadi halwa telinga dalam menenangkan hati yang gundah gulana.

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya…..”

Maksud hadith ini penulis rangkumkan dalam uslub dakwah ini semoga menjadi iktibar dalam kehidupan penulis agar sentiasa memperbaharui dan memperbetulkan niat dalam setiap amalan agar selaras dengan syariatNya.

sedikit perkongsian yang mana penulis dapat daripada seorang sahabat dalam emelnya yang menyatakan niat (niyyah) sangatlah penting, kerana perkataan niat itu terdiri daripada 3 huruf, iaitu:

Nun, yang melambangkan nur Allah (cahaya Allah)

Ya, yang melambangkan yad Allah (tangan Allah)

dan ha, yang melambangkam hidayat Allah (bimbingan atau petunjuk Allah)


Niat juga disebut sebagai qasad atau maksud tujuan. Jadi setiap penulis-penulis blog mesti ada niat atau tujuan masing-masing yang ingin disampaikan pada pembaca khususnya. Insya Allah dengan izinNya kita akan dapat apa yang kita niatkan. Andainya niat kita untuk mendapatkan harta, pangkat atau wanita, insya Allah kita akan dapat berdasarkan niat kita itu tetapi ingatlah bahawa ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam golongan-golongan celaka kecuali mereka yang berniat hanya untukNya. Ini termasuklah dalam penulisan entri-entri dalam blog kita. Perlu kepada muhasabah diri atas dasar apa kita menulis blog dan kepada siapa kita tujukan penulisan blog kita.


Diharapkan penulisan dalam blog ini mendapat RahmatNya.......doakan ya (Aameeen)


Semoga penulis juga istiqamah (konsisten) dalam uslub dakwah yang cuba dibawa melalui bentuk penulisan ini disamping secalit perkongsian perjalanan kehidupan penulis yang diharapkan membawa manfaat kepada sidang pembaca umumnya seterusnya kepada pemilik hati ini agar terus berada dilandasanNya.


Jom berhibur dengan hadith pertama arba'in an nawawiyah


Menuju Akhlak Mahmudah

Yusuf Al Humaira

07 Januari 2010

0658